KUANTAN, 17 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu masyarakat Orang Asli untuk mendaftarkan perkahwinan yang dilangsungkan secara adat.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata ia akan dilaksanakan dengan cara JPN pergi ke kawasan penempatan orang asli dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
"Antara dokumen diperlukan bagi pendaftaran perkahwinan di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952 ialah kad pengenalan dan surat pengesahan perkahwinan secara adat oleh JAKOA serta gambar berukuran pasport.
"Pendaftaran adalah secara sukarela, namun kita galakkan untuk memudahkan urusan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), pinjaman bantuan kerajaan dan pendaftaran anak ke sekolah," katanya pada sidang media selepas melawat pejabat JPN Pahang di sini, hari ini.
Ruslin berkata urusan pendaftaran juga boleh dilakukan dengan cepat kerana dilakukan di kawasan penempatan mereka.
Beliau juga memaklumkan Pahang mencatatkan peningkatan pendaftaran perkahwinan Orang Asli tahun ini, iaitu 1,834 pasangan setakat Jun, berbanding 1,141 pasangan (2017) dan 1,475 (2018).
"Ini adalah hasil didikan kesedaran oleh JAKOA dengan bantuan Tok Batin di kawasan penempatan mereka," katanya.
Jumlah keseluruhan bagi 2017 hingga Jun 2019 bagi Pahang iaitu 4,449 juga adalah yang tertinggi di dalam negara berbanding Negeri Sembilan (646) dan Perak (314).
Beliau menambah daerah dengan pendaftaran tertinggi di Pahang sejak 2017 ialah Rompin dengan 1,081 diikuti Pekan (1,581) dan Temerloh (481).
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial