AM

TEKUN salur lebih RM30 juta pinjaman usahawan Sabah, Sarawak

17/07/2019 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan RM35.8 juta kepada usahawan di Sabah dan Sarawak pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Katanya berkata daripada jumlah itu, RM18.9 juta disalurkan kepada 1,173 usahawan Sarawak manakala RM16.9 juta kepada 1,951 usahawan di Sabah.

“Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi menerima pembiayaan itu pada tahun ini, diikuti Sabah di tempat ketiga tertinggi. Yang tertinggi adalah negeri Selangor,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu langkah kementerian itu dalam memperkasa TEKUN dan berapa ramai usahawan dari Sabah serta Sarawak telah dibantu agensi itu berbanding usahawan di Semenanjung.

Katanya TEKUN telah menyalurkan pinjaman lebih RM700 juta kepada usahawan Sabah dan Sarawak sejak penubuhannya pada 1998 sehingga Mei lepas.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata kementerian juga telah menjalankan beberapa inisiatif untuk membangunkan lebih ramai usahawan muda, di kedua-dua negeri menerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Di samping itu, program menjana inovasi dan memberi pendedahan permulaan berinovatif turut dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 4,496 usahawan muda dari Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan