AM

Video seks: Polis perluas skop siasatan

16/07/2019 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Polis memperluaskan skop siasatan termasuk kemungkinan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor dalam kes penyebaran video seks yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata kes itu dianggap rumit kerana melibatkan ahli politik dan tidak mahu terburu-buru dalam mengambil tindakan. 

"Siasatan kami  menyeluruh dari semua sudut termasuk siapa yang terbabit dalam konspirasi video itu. 

"Kami tidak mahu ada pihak yang teraniaya dan siasatan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu dikemukakan kepada peguam negara dan apabila selesai tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui  selepas memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 231 anggota pelbagai pangkat bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Dewan Serbaguna Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, di Semenyih dekat sini, hari ini. 

Abdul Hamid berkata setakat ini polis akan menjalankan siasatan terhadap enam individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan reman semalam bagi membantu siasatan  berhubung kes video intim itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata keputusan mendedahkan indentiti pelaku membabitkan video itu terletak kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). 

 “Polis menerima laporan itu menerusi CyberSecurity Malaysia (CSM) namun akan ada perbincangan dijalankan bersama pihak Jabatan Peguam Negara berhubung identiti pelaku yang dikaitkan.

“Pihak polis tidak bertanggungjawab untuk memastikan mahupun mendedahkan identiti pelaku itu dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2019 di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa keenam-enam individu yang ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes itu mempunyai lokasi (markas) tertentu dalam merencana proses pembuatan dan penyebaran video terbabit, Huzir berkata: “Itu satu maklumat baharu dan polis akan menyiasat dakwaan itu," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan Haziq Abdullah serta lima individu lain ditahan reman enam hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes video lucah itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan