AM

UiTM dan Bank Islam lancar Kad Debit-i Alumni

15/07/2019 08:09 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini melancarkan ‘Kad Debit-i Alumni’ sebagai usaha untuk membantu universiti itu menjana pendapatan jangka panjang.

Kad Debit-i Alumni yang memaparkan logo UiTM itu boleh dimiliki oleh mana-mana pemegang kad Bank Islam khususnya kakitangan UiTM, pelajar serta alumni dengan cara menukar kad debit sedia ada mereka di cawangan bank tersebut ataupun menambah koleksi kad dengan menjadi pelanggan baharu bank berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata penjanaan pendapatan itu akan diraih menerusi caj yuran tahunan yang dikenakan terhadap pemegang kad yang mana Bank Islam bersetuju untuk menyumbang RM4 daripada caj berkenaan kepada tabung alumni.

“Selain menambah pendapatan kepada universiti, kerjasama itu juga bertujuan untuk merancakkan projek 'cashless university' yang akan dijalankan oleh UiTM pada masa depan.

“Penggunaan Kad Debit-i Alumni Bank Islam ini dilihat antara inisiatif berkesan untuk projek itu memandangkan hampir 75 peratus kakitangan universiti ini dan 95 peratus pelajar UiTM merupakan pemegang kad debit Bank Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Alumni Bank Islam, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

Katanya, pemegang kad Debit-i Alumni juga bakal menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan oleh Bank Islam dan penggunaannya oleh pemegang kad akan secara langsung menyumbang kepada proses penjanaan pendapatan universiti secara berterusan.

UiTM dalam kenyataannya pula menjangkakan pelancaran kad debit berwajah baharu itu dapat menarik minat warganya yang kini terdiri daripada 160,000 pelajar, 18,000 kakitangan serta lebih 700,000 alumni untuk menggunakan kemudahan tersebut dalam aktiviti membeli-belah.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata pihaknya komited dalam usaha mewujudkan masyarakat tanpa tunai sebagaimana yang diaspirasikan oleh Bank Negara Malaysia. 

“Dengan pelancaran kad debit ini, kakitangan, pelajar dan alumni UiTM dapat menguruskan kewangan mereka dengan lebih mudah, selamat dan pantas. 

"Transformasi sistem kewangan universiti ini ke arah 'cashless university' akan lebih mudah dengan menggunakan sistem yang akan dibangunkan nanti menggunakan kad Debit-I Bank Islam UiTM," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan