KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Tiga produk pelancongan baharu bakal diperkenalkan di Taman Tamadun Islam (TTI) sebelum akhir tahun ini, bagi melonjakkan kehadiran lebih ramai pelancong ke kawasan berkenaan.
Pengurus Besar TTI Management Sdn Bhd, Fazrul Isham Mohd berkata tiga produk baharu itu ialah taman tema mini, taman burung dan muzium tiga dimensi.
"Ketiga-tiga projek ini dijangka menelan belanja antara RM2 juta dan RM2.5 juta. Kertas cadangan akan kita kemukakan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan dan kelulusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Kita sangat berharap tiga produk baharu ini dapat dimulakan secepat mungkin selaras hasrat kita yang menyasarkan peningkatan kepada 700,000 pelancong pada tahun ini, berbanding 665,000 orang pada tahun lepas," tambahnya.
Ketika ini, Taman Tamadun Islam di sini, mempunyai beberapa tarikan utama pelancong seperti Taman Monumen, pakej menyusuri Sungai Terengganu (River Cruise), restoran B Beteng, Masjid Kristal, aneka produk di kedai cenderahati dan Pusat Konvensyen yang selesa untuk pelbagai majlis.
Beliau berkata sekiranya taman tema mini itu diluluskan kelak, ia bakal menjadi tumpuan orang ramai memandangkan Kuala Terengganu masih belum mempunyai tempat rekreasi seumpama itu setakat ini.
"Tarikan utama di taman burung pula ialah kita akan menempatkan pelbagai spesis burung kakak tua yang boleh kita dapatkan daripada pengusaha burung tempatan.
"Muzium tiga dimensi pula adalah pertama seumpamanya di Kuala Terengganu… sudah pasti ia menjadi tumpuan orang ramai terutama golongan muda kerana trend sekarang ialah mendapatkan foto unik di tempat cantik untuk dimuat naik ke media sosial," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial