KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Maxis Bhd telah mengambil langkah untuk menerokai segmen sukan elektronik (e-Sukan) kerana syarikat telekomunikasi (telco) itu yakin terdapat potensi perniagaan yang luas dalam bidang itu.
Ketua Jenama dan Pemasarannya, Tai Kam Leong berkata telco sentiasa mencari peluang untuk memainkan peranan lebih besar dalam segmen itu.
“Kami mengambil langkah kecil sekarang dan mendengar keperluan industri. Ia (maklum balas) akan memberi impak kepada strategi prapembangunan Maxis," katanya selepas mengumumkan kerjasama Maxis dengan Team Secret di sini hari ini.
Team Secret adalah pasukan profesional permainan e-Sukan terkenal di dunia dan kini merupakan pasukan Dota 2 pertama di dunia.
Tai berkata syarikat itu berminat memperluas tawarannya melangkaui peranti dan cadangan semasa untuk pengalaman permainan hebat pada rangkaian generasi keempat (4G) dan pada gentian.
"Ini termasuk pakej telefon pintar dengan Maxis Zerolution serta pembelian permainan menerusi pengebilan pengendali bagi pelanggan Hotlink, Maxis dan Ookyo.
"Industri permainan adalah industri besar yang meliputi mana-mana kumpulan umur untuk telefon pintar, gentian rumah, komputer peribadi dan konsol dan kami akan mengikut hala tuju yang dikehendaki industri,” katanya.
Pada masa ini, telco itu menawarkan tiga peranti mudah alih yang sesuai untuk permainan.
Tai berkata Maxis berminat untuk memperluas rangkaian melangkaui peranti mudah alih berkaitan permainan di rumah, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, kerjasama Maxis dengan Team Secret akan menyaksikan Maxis menaja pasukan Team Secret dalam permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) bagi membantu Malaysia menjadi hab e-Sukan di Asia.
Melalui kerjasama itu, Maxis dan Team Secret akan membangunkan penciptaan kandungan permainan eksklusif dan kelas dunia bagi tempoh setahun dengan Team PUBG Mobile untuk memberi inspirasi dan memupuk peminat permainan di Malaysia untuk bermain di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial