AM

Isu pinjaman kontra RM1 bilion diselesaikan tidak lama lagi - Manyin

12/07/2019 08:51 PM

KUCHING, 12 Julai (Bernama) - Isu berkaitan cadangan pinjaman kontra berjumlah RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak dijangka diselesaikan tidak lama lagi, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah pun memberi jawapan rasmi kepada kerajaan Persekutuan mengenai aturan untuk menawarkan RM1 bilion sebagai pembayaran kontra kepada pinjaman negeri sebanyak RM2.4 bilion, yang dipersetujui pada dasarnya oleh kedua-dua pihak.

"Kementerian saya telah membuat aturan untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan pada minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Festival Mind & STEM 2019 di sini hari ini. .

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh sesetengah pihak kerana isu tersebut akan memberi kesan kepada kanak-kanak.

Pada 6 Julai lepas, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, berkata kerajaan negeri Sarawak belum memberikan sebarang maklum balas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung tawaran pinjaman RM1 bilion yang diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu dan menetapkan empat mekanisme perundangan mengenai kaedah membaik pulih sekolah daif.

Dalam jawapannya, Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu telah dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan surat juga telah dihantar kepada Kementerian Kewangan.

Beliau juga berkata kerajaan Sarawak bersetuju dengan keempat-empat mekanisme perundangan iaitu yang pertama kerajaan Sarawak mesti membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya daripada kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah yang sama seperti dibayar oleh kerajaan negerii sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaiki sekolah-seolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja-kerja pembaikan seolah-sekolah daif di sarawakharus ditawarkan menerusi tender terbuka, untuk memastikan ketelusan dan nilai saksama berdasarkan pengaturan kewangan semasa Kerajaan Persekutuan.

Keempat, kerajaan Persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan keutamaan kerajaan Sarawak dalam memastikan sekolah-seolah tersebut diperbaiki.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan