AM

GOTONG ROYONG PERDANA BERSIHKAN PERKAMPUNGAN ORANG ASLI KUALA KOH

10/07/2019 02:09 PM

GUA MUSANG, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan mengadakan program gotong-royong perdana Khamis depan bagi  membersihkan Kampung Kuala Koh penempatan Orang Asli suku Batek yang dilanda tragedi jangkitan demam campak. 

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, banyak pihak termasuk beberapa pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) sudah memberi komitmen untuk bekerjasama bagi menjayakan program besar-besaran itu. 

Beliau berkata secara kebetulan sebilangan besar Orang Asli dari kampung itu masih ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani Gua Musang selepas menerima rawatan di hospital kerana dipercayai jangkiti penyakit itu.

Katanya, kini hanya ada beberapa penduduk Orang Asli sahaja berada di kampung itu yang  boleh turut serta  dalam operasi membersih rumah dan kawasan sekitar kampung berkenaan supaya jangkitan penyakit itu tidak berulang.

"Kita mengambil perhatian terhadap perkara itu supaya penduduk kaum itu dapat tinggal dalam keadaan selesa dan selamat sekembalinya mereka  ke rumah masing-masing nanti," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sejak awal Mei lalu, 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh meninggal dunia kerana dipercayai dijangkiti demam campak dan 112 orang lagi yang turut dijangkiti kuman itu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Berikutan itu, kampung terbabit diisytihar kawasan kawalan zon merah mulai 12 Jun lalu sebelum ditarik balik jam 8 pagi Isnin lalu selepas Kementerian Kesihatan membuat pengesahan kampung itu bebas daripada wabak penyakit berkenaan.

Hashim Alang berkata, pihaknya juga akan mengambil langkah untuk membaik pulih rumah kaum itu yang mengalami kerosakan di samping membangunkan bidang ekonomi supaya mereka ada punca pendapatan.

Katanya, perkara itu semua ada dalam perancangan jabatan kerana menyedari setiap keluarga Orang Asli dari suku kaum Batek diberi perhatian serta pembelaan bagi mengelakkan  mereka kerap berpindah ke kawasan hutan. 

"Kita yakin selepas ini tidak ada lagi penduduk Orang Asli di kampung berkenaan yang  hidup terpinggir dalam menikmati kemajuan yang bakal dilaksanakan,"katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan