IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya.
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata anggota Exco berkenaan ditahan semalam bagi membantu siasatan lanjut.
"Untuk siasatan polis yang adil, kita telah menangkap orang disyaki semalam bagi membantu siasatan kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkaitan penangkapan itu dan memberitahu akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Semalam, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia, membuat laporan polis di Balai Jelapang di sini Isnin lepas, mendakwa dirogol anggota Exco berkenaan di rumahnya, dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Razarudin dalam satu kenyataan berkata pemeriksaan doktor telah dibuat terhadap Exco berkenaan bagi tujuan siasatan dan setelah selesai, beliau dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Katanya mangsa yang berumur 23 tahun telah ditempatkan di tempat yang selamat sehingga kertas siasatan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.
“Siasatan forensik dijalankan di tempat kejadian, beberapa bukti diambil untuk dianalisis dan percakapan beberapa saksi berkaitan diambil termasuk ahli keluarga Exco berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada pembantu rumah itu pada Isnin lepas menyatakan telah dirogol di rumah majikannya iaitu Exco Perak di Meru di sini.
“Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis menjalankan siasatan dengan merakam percakapan mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan doktor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial