GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Pengunjung dan pelancong di tengah-tengah Tapak Warisan George Town terkejut dan hairan, apabila melihat kehadiran dua raksaksa predator yang dilihat menculik kanak-kanak dan orang dewasa di tengah-tengah orang ramai.
Malah, kedua-dua raksaksa tersebut turut cuba menculik Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, ketika lawatan beliau sempena Sambutan Tapak Warisan George Town bersama Exco Kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan negeri Pulau Pinang.
Namun di sebalik meminta bantuan keselamatan, kesemua mereka termasuk Chow, kelihatan gembira dan mereka sebagai ‘mangsa’ mengambil kesempatan untuk berswafoto bersama Radzi dan Nizam, yang mengenakan pakaian raksaksa predator, watak daripada filem sains fiksyen ‘Alien vs Predator’.
Peminat watak tersebut, Radzi, 36, memberitahu Bernama, beliau dan rakan karib sejak kecilnya itu bukan mahu menculik kanak-kanak, tetapi sebaliknya mahu membantu melalui kerja amal untuk ‘Friend of Childhood Cancer Northern (Malaysia)’ iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan, yang memberikan sokongan kepada ibu-bapa kanak-kanak penghidap kanser.
‘Predator Malaysia’ itu berkata sebelum ini mereka pernah ke pelusuk negara sebagai predator, menyertai acara kutipan derma, pertunjukan motosikal dan kereta, namun inilah kali pertama mereka menyertai program amal di Pulau Pinang untuk Sambutan Hari Warisan, bagi memperingati pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sejak 2008.
“Kami mahu lakukan sesuatu yang kami minati tetapi dalam masa yang sama, mahu membawa kegembiraan kepada mereka yang berada di sekeliling kami, terutamanya kanak-kanak yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu Sambutan Tapak Warisan George Town kali ke-11, satu program tahunan anjuran ‘George Town World Heritage Incorporated (GTWHI)’ telah dilancarkan di Tapak Warisan George Town di sini hari ini.
Dengan Tema ‘Let’s Celebrate -- Ritual dan Festive Events, program tiga hari itu menganjurkan 22 program kemasyarakatan interaktif, untuk orang ramai menyertainya bersama masyarakat tempatan, dengan memperkenalkan kepelbagaian acara tradisi dan kebudayaan seperti sambutan hari lahir, upacara pra-perkahwinan dan juga majlis perkahwinan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial