BANGI, 7 Julai (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang muncul juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat Selangor anjuran Jabatan Penerangan (JaPen), sekali gus akan mewakili negeri itu pada pertandingan peringkat kebangsaan hujung bulan ini.
Sketsa bertajuk ‘Daulat’ yang dipertaruhkan sekolah itu melibatkan lima pelajar dan ini kemenangan tahun ketiga berturut-turut sekolah berkenaan.
Guru pembimbing pasukan SMK Tinggi Klang, Faiza Suhaida Mohd Salleh berkata mereka mengambil masa seminggu untuk berlatih dan membuat persediaan menghadapi pertandingan itu.
“Mereka saling membantu dalam proses menghayati mesej yang ingin disampaikan dalam sketsa ketika latihan di sebalik tempoh masa yang pendek,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu di SMK Bandar Seri Putra dekat sini semalam.
Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JaPen Selangor, S. Devaraj.
SMK Gombak Setia (Gombak) dan SMK Telok Datok (Kuala Langat) masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan bertema 'Sayangi Malaysiaku' melibatkan enam sekolah di daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat, Sabak Bernam dan Kuala Langat
Ia merupakan acara tahunan JaPen yang berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan bertujuan meningkatkan kefahaman ahli Kelab Malaysiaku mengenai lima Prinsip Rukun Negara ke arah melahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara di samping mencungkil bakat seni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial