SUKAN

Kesilapan individu memakan diri skuad Bujang Senang

07/07/2019 10:56 AM

KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Pasukan Sarawak terus dirundung malang apabila gagal memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri, selepas tunduk 2-4 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.

Penolong Jurulatih, Mohamad Denny Da’ail berkata barisan pemain Sarawak harus menyalahkan diri sendiri apabila melakukan banyak kesilapan individu, sehingga membolehkan gol Bujang Senang dibolosi sebanyak empat kali.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai beberapa peluang keemasan menjaringkan gol, namun ketumpulan di bahagian serangan gagal menghasilkan jaringan tambahan, serta terdapat juga satu gol tidak dikira pengadil yang merugikan pasukan.

“Berbaki tiga perlawanan lagi, skuad kami akan berikan sehabis baik untuk cuba kekal di dalam Liga Premier ini, dan saya masih lagi optimis dengan semua pemain kerana kita ada dua perlawanan di laman sendiri, yang akan memberi kelebihan buat pasukan.

“Tiada istilah putus asa ataupun bermain sekadar untuk melengkapkan jadual. Pasukan Sarawak akan bermain bermati-matian untuk mencari mata maksimum sembilan mata, daripada tiga perlawanan yang akan datang,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan di sini malam tadi.

Sarawak kini terpelosok di dasar liga dengan hanya mengumpul 10 mata daripada 17 perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris memuji barisan pemainya yang berjaya membawa pulang tiga mata ke Seremban, sekali gus kembali dalam persaingan merebut slot ke Liga Super 2020.

“Pada separuh masa pertama, kedudukan pemain kurang tersusun dengan corak permainan yang lemah, sehingga membuatkan jentera serangan Sarawak sering mengucar-ngacirkan pertahanan kami.

“Di babak kedua, para pemain berkerja-keras sehingga berjaya menyumbat dua gol yang amat penting untuk mengutip tiga mata berharga,” katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 25 mata daripada 17 perlawanan, dan memiliki peluang cerah melangkah ke Liga Super musim hadapan sekirannya mencatatkan tiga kemenangan, dalam baki tiga perlawanan selepas ini.

Takhta Liga Premier kini dipimpin pasukan Sabah yang telah mengesahkan slot ke Liga Super musim hadapan, mendahului liga dengan 37 mata daripada 17 perlawanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan