Oleh MASSITA AHMAD
SINGAPURA, 1 Julai (Bernama) -- Pendigitalan serta komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan perbankan Islam, akan menyokong pertumbuhan sektor itu di Malaysia dan Indonesia, menurut Moody's Investors Service.
"Disokong oleh keuntungan yang kukuh, bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia meningkatkan pelaburan mereka dalam pendigitalan, yang akan membantu industri berkembang pada kos yang lebih rendah," kata Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Simon Chen, dalam kenyataan di sini.
Secara umumnya, pendigitalan membantu bank mengurangkan perbelanjaan operasi dengan membolehkan mereka menyelaraskan dan mengautomasikan proses dalaman dan menurunkan kos untuk memperoleh dan berkhidmat untuk pelanggan, menurut agensi penarafan itu.
Satu lagi manfaat pendigitalan untuk bank Islam, khususnya, ialah ia membantu mereka mengatasi kehadiran fizikal mereka yang kecil dalam meningkatkan pendapatan, katanya.
"Kami percaya kerajaan Malaysia dan Indonesia akan terus komited untuk membangunkan perbankan Islam, dengan kedua-dua negara berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran pertumbuhan mereka yang besar dalam sektor ini," kata Chen.
Moody’s berkata pengawal selia di negara-negara itu bukan sahaja mempromosi pertumbuhan, bahkan truut menangani risiko baharu berkaitan nilai-nilai tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dan pada masa yang sama menruskan pertumbuhan, yang merupakan positif kredit.
Malaysia, yang telah mengetuai rantau ASEAN dalam usaha pengawalseliaan untuk menyokong perbankan Islam, memperkenal rangka kerja untuk menggabungkan nilai-nilai ESG dalam operasi dan urus tadbir risiko bank Islam.
Moody’s menjangkakan pembangunan ini akan mewujudkan peluang pertumbuhan baharu bagi bank yang mengikuti prinsip Syariah.
Di Indonesia, inisiatif kerajaan baru-baru ini untuk meningkatkan ekonomi halal negara dan meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan kewangan Islam, akan membantu sektor perbankan Islam berkembang, kata Moody's.
Laporan penuh Moody boleh diakses oleh pelanggan di http://www.moodys.com/researchdocumentcontentpage.aspx?docid=PBC_1181835.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan