AM

UMK, OEW Algae Technologies kerjasama komersialkan produk kosmetik berasaskan mikro alga

24/06/2019 07:45 PM

BACHOK, 24 Jun (Bernama) -- Mikro alga, spesies rumpai yang boleh hidup di darat dan air, mampu menghasilkan produk kecantikan bagi wanita dan kesihatan bagi kaum lelaki yang 600 kali ganda lebih baik berbanding vitamin C biasa yang ada di pasaran sekarang.

Bagi tujuan mengkomersialkan rumpai tersebut, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menjalin kerjasama dengan syarikat OEW Algae Technologies Sdn Bhd.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Nor Azizi Ismail berkata,  menerusi projek itu, kedua-dua pihak mendapat faedah iaitu pelajar UMK yang mengikuti bidang  pengajian di Fakulti Bio Kejuruteraan dan Teknologi di Kampus Jeli akan mendapat latihan, pengalaman industri dan penempatan kerjaya pada masa hadapan.

“Pihak OEW  Algae Technologies pula akan mengkomersialkan  produk yang dihasilkan untuk pasaran dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat terbabit dan UMK, di kampus UMK di sini hari ini.

Syarikat itu diwakili pengerusi eksekutifnya Datuk Dr Nazly Mohd Noor.

Nor Azizi berkata, rakyat Kelantan terutama  di Jeli juga akan turut mendapat faedah membiak rumpai berkenaan dalam kolam  yang boleh dibina di belakang rumah atau menggunakan kanvas, yang tidak memerlukan perbelanjaan besar.

“Kawasan seluas lebih 70 hektar di Jeli dikenal pasti sangat sesuai pembiakan rumpai dalam persekitaran sungai yang bersih dan belum tercemar dengan sebarang aktiviti dan keadaan hutan yang masih dalam keadaan semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Dr Nazly berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2 juta hingga RM3 juta pelaburan dalam tempoh dua tahun iaitu 2019-2020 dan menambah kepada RM20 juta hingga RM30 juta dalam tempoh 2020-2023.

Katanya, dengan adanya MoU itu pihaknya dapat menjimatkan perbelanjaan import spesies rumpai  berkenaan dari Jepun yang bernilai antara RM5 juta hingga RM7 juta setahun.

Beliau berkata, sehingga ini pihak syarikat yang beroperasi di Shah Alam itu sudah menghasilkan 30 produk berasaskan rumpai itu dan mengeksportnya ke negara-negara ASEAN terutama Filipina, Singapura dan Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan