KOTA BHARU, 23 Jun (Bernama) -- Sejumlah 83,968 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sehingga kini, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 27 peratus adalah usahawan wanita dalam pelbagai bidang perniagaan.
"Namun saya percaya lebih ramai usahawan yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka terutama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana takut melalui proses audit dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Mereka juga risau jika berdaftar dengan SSM tidak lagi akan mendapat bantuan kerajaan terutamanya Bantuan Sara Hidup (BSH)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Sazmi Miah.
Beliau berkata oleh itu, KPLB kini berusaha untuk mengubah minda usahawan PKS ini untuk lebih berpandangan jauh agar mereka mampu mengembangkan perniagaan pada masa depan.
"Kita nak usahawan sekarang mempunyai sudut pandang yang lebih positif supaya mereka boleh membantu orang lain pula. Apalah yang ada dengan BSH yang jika dikira hanya menyumbang sebanyak RM100 sebulan. Berilah kepada mereka yang lebih memerlukan.
"Kita tak nak lagi mereka menjadi usahawan yang 'cukup makan' atau menjalankan perniagaan secara sampingan. Kita mahu mereka benar-benar menjadi usahawan," katanya.
Mengulas mengenai kehidupan masyarakat Orang Asli yang masih ketinggalan terutama membabitkan infrastruktur, Rina berkata KPLB akan berusaha menyediakan kemudahan tersebut walaupun masyarakat berkenaan bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya.
"Kita nak mereka juga dapat bekalan air terawat, elektrik dan jalan dan Insya-Allah itu usaha yang sedang giat dijalankan oleh KPLB ketika ini.
"Malah visi kita bukan sahaja untuk menyediakan kemudahan infrastruktur tapi turut mempertingkatkan sosioekonomi terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial