EKONOMI

CBP umum dividen 7 peratus

22/06/2019 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Co-opbank Pertama (CBP) mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak tujuh peratus bagi tahun kewangan 2018, berbanding enam peratus pada 2017 selepas ditolak zakat.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh berkata kadar dividen itu merupakan kadar tertinggi bagi tempoh lima tahun.

"Kadar kasar adalah 9.5 peratus selepas tolak zakat 2.5 peratus, tujuh peratus adalah kadar dividen yang bersih. Ini satu dividen yang agak tinggi berbanding dengan dividen biasa yang diisytihar oleh syarikat-syarikat lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan CBP ke-60, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi CBP Kamari Zaman Juhari berkata bagi tahun kewangan 2018, keuntungan sebelum zakat CBP telah meningkat 32 peratus iaitu RM12.6 juta kepada RM52.32 juta berbanding RM39.7 pada tahun 2017. 

“Dalam masa yang sama, kita juga telah berjaya mengawal kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) di bawah tiga peratus pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018,” katanya.

Beliau berkata jumlah aset CBP terus meningkat dengar kadar pertumbuhan purata bagi tiga tahun sebanyak 30 peratus kepada RM3.61 juta berbanding RM3.16 juta pada tahun sebelumnya.

CBP, katanya  turut memperuntukkan RM70 juta bagi penambahbaikan sistem teknologi maklumat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan CBP.

“CBP sedang mengkaji sistem perbankan teras yang sesuai bagi menggantikan sistem yang telah diguna pakai lebih 10 tahun untuk menyokong pertumbuhan CBP dari aspek produk dan perkhidmatan kewangan menggunakan perbankan internet,” katanya.

Menjelang 2025, beliau berkata CBP merancang membuka 10 lagi cawangan yang akan menjadikan jumlah cawangan CBP di seluruh negara sebanyak 35 cawangan.

“Setakat hari ini, sebanyak 23 cawangan CBP telah beroperasi di seluruh negara dengan tiga lagi iaitu di Port Dickson, Negeri Sembilan, Dungun, Terengganu dan Tanah Merah, Kelantan akan di buka menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sehingga Mei 2019, jumlah keanggotaan CBP adalah sebanyak 89,678 individu dan 706 anggota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan