POKOK SENA, 20 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lombong pasir ketika sedang memukat ikan bersama abangnya dan seorang kenalan mereka di Derang dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pokok Sena, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata pihaknya mendapat panggilan tentang kejadian yang menimpa Mohd Fitri Abd Razak, 25, pada 2.59 petang dan tiba di lokasi berkenaan pada 3.15 petang.
“Setibanya kami di lokasi kejadian kami terus membuat pencarian di permukaan air dan radius kawasan pencarian setakat ini sejauh 50 meter bermula dari tempat mangsa dipercayai terjatuh semasa memukat di lombong ini.
“Kedalaman lombong kalau kita kira dari tempat dia dipercayai jatuh lebih kurang 10 kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Wan Azizul Hakim berkata seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu selain turut dibantu pihak polis.
“Seramai lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra juga turun membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Ridzuan, 37, berkata beliau dan adiknya itu memukat ikan bersama seorang lagi kawan Ridzuan kira-kira pukul 2 petang di lombong berkenaan.
“Baru pertama kali kami datang memukat dekat sini hari ini. Adik saya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, macam biasa sahaja sebelum kami datang memukat,” katanya.
Ridzuan berkata kira-kira 30 minit kemudian, tiba-tiba beliau ternampak adik bongsunya daripada lima beradik itu terkapai-kapai sambil meminta tolong sebelum hilang daripada pandangan dipercayai tenggelam dalam lombong itu.
“Saya sempat dengar adik panggil minta tolong dua kali, tetapi tidak sempat nak tolong selamatkan dia sebab tengok dah hilang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial