SUKAN

Memanah: Khairul terlepas peluang raih gelaran dunia

17/06/2019 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad terlepas peluang meraih gelaran dunia pertama acara recurve individu lelaki selepas tewas di peringkat akhir kepada pemanah nombor tiga dunia, Brady Ellison dalam penentuan shoot-off di Hertogenbosch, Belanda, malam ini.

Khairul, yang berada di kedudukan ke-22 dunia, ternyata menampilkan kesungguhan di pentas akhir sehingga panahan terakhir sebelum akur kepada pemanah pilihan dari Amerika Syarikat itu 8-10 yang meraih gelaran pada Kejohanan Memanah Dunia 2019.

Biarpun tewas pada saingan tersebut, pencapaian Khairul itu sesuatu yang membanggakan kerana beliau muncul pemanah Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Dunia.

Pada aksi final penuh mendebarkan, kedua-dua pemanah itu terikat 5-5 selepas mereka mencatat keputusan  27-27, 29-29 dan 28-28 dalam tiga set pertama.

Ellison, 30, memiliki sedikit kelebihan di set keempat dengan kemenangan 29-28, namun pemanah kelahiran Terengganu itu sekali lagi menyamakan kedudukan selepas mencatat keputusan 28-26 di set kelima sekaligus mengheret saingan ke penentuan shoot-off bagi menentukan pemenang dalam acara yang disiarkan secara langsung melalui saluran rasmi kejohanan dunia di YouTube.

Khairul menempah slot ke sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menumpaskan Jack Williams dari Amerika Syarikat 7-3 di suku akhir, sebelum mara ke peringkat akhir dengan mengalahkan Ruman Shana dari Bangladesh 5-3 di separuh akhir pada Jumaat.

Sebelum ini, pencapaian terbaik pemanah Malaysia di Kejohanan Dunia dengan mara ke suku akhir menerusi Cheng Chu Sian pada edisi 2007 di Leipzig, Jerman.

Sementara itu, Ruman memenangi pingat gangsa selepas menewaskan pemanah Itali Mauro Nespolu 7-1 pada aksi penentuan tempat ketiga-keempat.

Khairul, 27, sebelum ini meraih pingat gangsa pada Piala Dunia 2017 dan 2018.

Untuk rekod,  pemanah para negara,  S.Suresh muncul atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 dalam acara recurve lelaki terbuka baru-baru ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan