EKONOMI

YTL Corp rancang nyahsenarai YTL Land menerusi pertukaran saham

13/06/2019 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- YTL Corporation Bhd (YTL Corp) mengumumkan rancangan untuk nyahsenarai cabang pembangunan hartanahnya, YTL Land & Development Bhd (YTL Land), menerusi pertukaran saham bersyarat.

Dalam kenyataan hari ini, firma konglomerat itu berkata ia berhasrat membeli kesemua baki saham yang tidak dimilikinya dalam YTL Land pada 36 sen sesaham melalui terbitan saham YTL Corp baharu.

“Saham YTL Corp baharu akan diterbitkan pada RM1.14 setiap satu dan harga tawaran diterjemahkan kepada nisbah pertukaran kira-kira 0.32 saham YTL Corp untuk setiap saham YTL Land,” katanya.

Ia juga menawarkan untuk menukar saham pinjaman tidak bercagar boleh tukar tidak boleh tebus (ICULS) YTL Land kepada 32 sen untuk saham baharu YTL Corp, yang juga akan diterbitkan pada RM1.14 setiap satu.

Ini diterjemahkan kepada nisbah pertukaran 0.28 saham pertimbangan bagi setiap tawaran ICULS.

Berdasarkan 288.05 juta saham tawaran dan 208.78 juta ICULS tawaran pada 7 Jun -- tarikh sesuai terkini sebelum notis berkenaan -- YTL Corp mungkin menerbitkan sehingga 149.57 juta saham pertimbangan mengikut tawaran tersebut, dengan anggapan bahawa tawaran itu diterima oleh semua pemegang.

Jika YTL Corp dan syarikat sekutunya dapat memegang lebih 75 peratus tetapi kurang daripada 90 peratus saham tersenarai YTL Land pada akhir tempoh pelaksanaannya, syarikat akan berusaha nyahsenarai  YTL Land daripada Bursa Malaysia.

YTL Land ditutup satu sen lebih rendah pada 36 sen hari ini manakala YTL Corp naik 1 sen kepada RM1.14.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan