EKONOMI

SELGEM oleh SMARTSEL bangunkan pangkalan data geospatial menyeluruh

13/06/2019 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- SMARTSEL Sdn Bhd (SmartSel), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) melancarkan projek Sistem Pengurusan Geospatial Selangor (SELGEM).

Ia merupakan usaha sama antara SmartSel dan Imoss Technology Sdn Bhd (ITSB) bertujuan membangunkan pangkalan data lengkap bagi data geospatial Selangor.

Data berkenaan amat berguna untuk pelbagai kegunaan seperti pengurusan bencana, perlindungan alam sekitar, pemetaan utiliti, pengurusan pertanian dan perladangan serta pengurusan sungai.

Kawasan Kepentingan (AOI) bagi projek SELGEM terletak di Sungai Klang dengan keluasan 51 kilometer persegi (5,100 hektar) serta dijangka menyumbang kepada perancangan pembangunan komprehensif serta kecekapan penggunaan tanah Selangor yang lebih baik.

“Selangor yakin tumpuan kepada kemampanan adalah penting ke arah pembangunan lebih inklusif. Menerusi sistem pengurusan geospatial berpusat, semua agensi kerajaan yang berkaitan, pihak berkuasa, pihak berkepentingan sektor swasta dan masyarakat awam, boleh mengakses data geospatial yang tepat dan menyeluruh pada tepat masanya untuk merancang, membuat keputusan, pemantauan serta penguatkuasaan,” menurut SmartSel dalam kenyataan.

Perspektif pelaburan asing juga boleh ditangani menerusi ketersediaan maklumat terkini dan berkaitan, yang akan memberi kelebihan kepentingan kepada Selangor apabila pelabur mengenal pasti dan memilih industri yang sesuai untuk dibangunkan di negeri itu.

Projek SELGEM akan membantu semua pihak menerusi keselamatan dan keadaan alam sekitar lebih baik, seiring dengan banyak lagi faedah lain yang ketara untuk Selangor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan