SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki yang cuba merakam gambar seorang peguam wanita yang berada di tandas sebuah stesen minyak Batu 3 di sini terbantut, apabila wanita itu menjerit dan menyemburkan air kepada suspek dalam satu kejadian pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian kira-kira 11.15 malam, mangsa yang berusia 34 tahun itu dikatakan masuk ke tandas wanita di stesen minyak tersebut seorang diri, sebelum diekori lelaki berkenaan.
"Difahamkan suspek yang bersendirian itu memegang telefon bimbit, dan cuba merakam gambar mangsa menerusi pintu tandas tersebut.
"Menyedari perkara itu, mangsa menjerit lalu menyemburkan air kepada suspek, menyebabkan suspek keluar dari tandas terbabit dan melarikan diri," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu, pihaknya kini sedang mengenal pasti identiti lelaki terbabit menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan untuk siasatan kes.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.
Sehubungan itu, Baharudin turut menasihatkan golongan wanita supaya lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama di kawasan tandas awam bagi mengelak perkara tersebut berulang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial