KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) - Institut Akauntan Malaysia (MIA) hari ini melancarkan Rangka Kerja Kecekapan Fungsi Kewangan Dalam Entiti Kepentingan Awam (PIE) sebagai panduan untuk kalangan ketua pegawai kewangan dan profesional kewangan mempertingkat sistem terbabit serta kualiti tenaga kerja di peringkat organisasi masing-masing.
Presiden MIA Salihin Abang berkata kerangka itu juga merupakan inisiatif yang tepat pada masanya bagi melaksanakan latihan dan pendidikan relevan untuk pelbagai peranan dalam landskap perniagaan masa kini.
Ini juga dapat mempersiapkan mereka bagi fungsi kewangan dan transformasi perniagaan yang sebahagian besarnya dipacu secara digital.
"Kerangka ini menggariskan semua pendekatan dan garis panduan jelas yang boleh kita pertingkatkan lagi dan (elemen) penting untuk semua CFO (ketua pegawai kewangan), badan kewangan serta organisasi kecil sehinggalah syarikat berkaitan kerajaan.
"Kita perlu sentiasa melakukan usaha penambahbaikan, melabur dalam tenaga kerja serta mempertingkat sistem dan piawaian," katanya kepada media pada Persidangan CFO 2019 di sini, hari ini.
Rangka kerja itu adalah berdasarkan penyelidikan Persekutuan Perakaunan Antarabangsa (IFAC) yang merupakan penasihat untuk CFO dan transformasi fungsi kewangan serta sumber pengetahuan lain yang berwibawa.
Salihin berkata rangka kerja itu turut melengkapi inisiatif strategik MIA lain bagi mempertingkat kemahiran CFO dan profesional terbabit memantapkan lagi sokongan perniagaan dan organisasi.
Sementara itu, ahli majlis MIA, Datuk Merina Abu Tahir berkata rangka kerja tersebut turut menetapkan keperluan ahli MIA (akauntan profesional) menyenaraikan nombor keahlian MIA mereka apabila menandatangani dan mengaudit laporan kewangan.
"Ini akan memberi lebih banyak kredibiliti manakala orang ramai juga akan mengetahui kualiti penyata kewangan apabila ia ditandatangani oleh ahli MIA yang terikat dengan ketetapan MIA.
"Aspek ini adalah suatu perkara baharu berbanding keadaan sebelum ini apabila kita tidak mengenali siapa yang menandatangani penyata kewangan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial