AM

Dua lelaki ditahan miliki dadah di Lipis

13/06/2019 10:33 AM

KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan bersama ganja dan heroin yang dianggarkan bernilai RM900 di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Mela, Kuala Lipis di Lipis, semalam. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia 52 tahun dan bekerja sendiri itu, ditahan pada 11 pagi, menerusi serbuan Op Sarang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

"Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan bersama sebuah beg galas berwarna kelabu yang berisi tiga ketulan mampat daun kering dibungkus plastik disyaki ganja. 

"Polis juga menemui satu bekas plastik lutsinar mengandungi dua plastik berisi ketulan putih dipercayai heroin di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Azli berkata anggaran berat kasar ganja ialah 235.72 gram manakala heroin dianggarkan seberat 8.26 gram, dan siasatan awal mempercayai suspek memperoleh dadah itu dari sekitar Mela, Lipis.

Suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah.  

Sementara itu, dalam kes berasingan, Azli berkata seorang mekanik ditahan di sebuah rumah kongsi kilang di Padang Tengku, Kuala Lipis kerana memiliki 10.26 gram syabu, heroin (17.3 gram) dan ganja (6.3 gram). 

Beliau berkata suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi hari ini, dalam Op Tapis, dan dadah tersebut yang semuanya dianggarkan bernilai RM680 dijumpai dalam bekas plastik biru di tempat tidur suspek. 

"Polis turut merampas sebuah alat penimbang, satu paket penyedut minuman dan seikat plastik lutsinar yang turut berada dalam bekas itu, dipercayai milik suspek," katanya. 

Azli berkata suspek yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu juga positif dadah dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau dipercayai memperoleh bekalan dari Kajang, Selangor. 

Beliau berkata siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan