AM

Himpunan Cinta Baju Melayu meriahkan sambutan Aidilfitri di selatan Thailand

09/06/2019 01:41 PM

PATTANI, 8 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pattani, selatan Thailand begitu meriah apabila ribuan golongan muda menggayakan baju Melayu dan baju kurung baharu yang berwarna-warni membanjiri Masjid Kerisik di sini. 

Himpunan Cinta Baju Melayu, anjuran  Persatuan Pemuda Pattani bermula pada Hari Raya Aidilfitri kedua, ketiga dan keempat itu melihat golongan muda dari tiga wilayah selatan Thailand – Pattani, Narathiwat dan Yala mengenakan busana Melayu traditional beramah mesra bagi mengeratkan silaturahim.

Menaiki motosikal, trak pikap dan kenderaan dari tiga wilayah itu mereka berhimpun di Masjid Kerisik yang juga dikenali sebagai Masjid Krue Se yang bersejarah itu.  

Anak muda dari kampung sama telah menggayakan baju raya sedondon untuk menghadiri majlis itu.

Dengan menggunakan hashtag termasuk #CintaiBajuMelayu, #PestaRayaKita, dan #BudayaMelayuPatani, himpunan itu berjaya mengumpul hampir 2,000 golongan muda di dataran Masjid Kerisik sempena sambutan Aidilfitri, semalam.

Persiapan himpunan busana raya ini bermula kira-kira sebulan yang lepas di mana mereka akan mengumpul duit untuk membeli kain yang sama warna dan mengupah tukang jahit menyiapkan baju raya.

Pada Hari Raya pertama, Khamis lepas, golongan muda yang berpakaian baju Melayu dan berbaju kurung telah membersihkan Pantai Limau Nipis, Narathiwat.

Hari ini, dianggarkan 1,000 golongan muda termasuk mahasiswa dan pelajar berkumpul di Masjid Kerisik. 

 Himpunan itu bertujuan untuk memartabatkan budaya Melayu khususnya menggalakkan golongan muda menggayakan busana traditional selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan