KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Perdagangan Malaysia bagi April 2019 meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM159.55 bilion berbanding April 2018.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport meningkat 1.1 peratus kepada RM85.2 bilion - nilai eksport tertinggi yang pernah direkodkan bai bulan April.
“Import meningkat 4.4 peratus kepada RM74.35 bilion manakala lebihan dagangan merosot 16.6 peratus kepada RM10.86 bilion, menjadikan bulan ke-258 berturut-turut lebihan dagangan sejak November 1997,” katanya.
Perdagangan dengan ASEAN, Australia, Arab Saudi, Taiwan, Amerika Syarikat (AS), Jepun, India dan China turut meningkat pada bulan itu.
Eksport barangan perkilangan - yang menyumbang 85.1 peratus daripada jumlah eksport - tumbuh 2.7 peratus kepada RM72.49 bilion, berikutan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, peralatan optik dan saintifik, besi dan produk keluli serta makanan diproses yang lebih tinggi.
"Eksport barangan perlombongan merosot 1.5 peratus kepada RM6.66 bilion, terutama berpunca daripada penurunan eksport petroleum mentah yang disebabkan oleh jumlahnya yang lebih rendah," katanya.
Sementara itu, eksport gas asli cecair (LNG) meningkat, berikutan pengembangan jumlah dan Nilai Unit Purata (AUV).
"Eksport barangan pertanian merosot 9.3 peratus kepada RM5.45 bilion disebabkan oleh eksport minyak kelapa sawit dan barangan berasaskan minyak sawit yang lebih rendah.
"Eksport minyak sawit berkurangan 17.3 peratus kepada RM3.07 bilion berikutan jumlah dan AUV yang lebih rendah," kata MITI.
Bagi rakan perdagangan, dagangan Malaysia dengan ASEAN pada April 2019 meningkat dua peratus y-o-y kepada RM42.23 bilion, merangkumi 26.5 peratus daripada jumlah dagangan.
Eksport meningkat 7.2 peratus y-o-y kepada RM25.63 bilion, didorong oleh eksport barangan E&E yang tinggi, produk petroleum (produk petroleum ditapis), produk besi dan keluli, kondensat petroleum, minyak petroleum lain serta jentera, peralatan dan bahagian.
Import dari ASEAN bagaimanapun menguncup 5.1 peratus y-o-y kepada RM16.6 bilion.
Perdagangan dengan China meningkat 1.4 peratus y-o-y kepada RM26.63 bilion, menyumbang 16.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Import meningkat sebanyak 8.8 peratus y-o-y kepada RM15.08 bilion, namun eksport ke negara itu merosot 6.9 peratus kepada RM11.55 bilion, disokong oleh eksport barangan E&E yang lebih rendah, produk petroleum serta bijih metalik dan sekerap logam.
"Bagaimanapun, eksport peralatan optik dan saintifik, LNG, produk kertas dan pulpa, produk besi dan keluli serta makanan yang diproses meningkat pada bulan itu," katanya.
Pada asas bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 3.8 peratus, 1.4 peratus dan 6.7 peratus, manakala lebihan perdagangan menguncup 24.5 peratus.
Bagi empat bulan pertama 2019, jumlah dagangan merosot 0.4 peratus y-o-y kepada RM594.72 bilion, manakala eksport berjumlah RM321.26 bilion atau penurunan 0.2 peratus y-o-y.
Import juga merosot 0.7 peratus kepada RM273.45 bilion, manakala lebihan dagangan meningkat 3.1 peratus kepada RM47.81 bilion dalam tempoh itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial