AM

TUDM hasrat jadi kuasa udara berspektrum penuh

31/05/2019 06:53 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengorak langkah untuk menjadi sebuah kuasa udara berspektrum penuh yang memiliki keupayaan lebih tinggi dan fokus serta berorientasikan operasi berasaskan keberkesanan.

Panglima TUDM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata perkara berkenaan hanya dapat dicapai melalui Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) yang merupakan pelan jangka panjang transformasi keupayaan TUDM dari 2021 hingga 2055.

Beliau berkata walaupun TUDM hanyalah sebuah ketumbukan bersaiz sederhana, ia mempunyai kemampuan tinggi dan berupaya di rantau ini.

"Keupayaan TUDM akan dibangunkan dengan lebih efektif dan efisien melalui penstrukturan semula aset-aset utama dan sokongan sedia ada dan pada masa akan datang.

Selain itu, CAP55 mencakupi tiga teras lain melibatkan pembangunan modal insan, pembangunan doktrin dan penjajaran organisasi,” katanya dalam wawancara khas dengan Bernama sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TUDM ke-61 yang bakal disambut esok.

Ditanya mengenai pencapaian TUDM sepanjang tahun lepas, Affendi berkata antara pencapaian besar TUDM adalah penghantaran pasukan TUDM pada misi bantuan kemanusiaan dan bencana di Palu, Indonesia pada Oktober lepas.

Beliau berkata penglibatan TUDM dalam misi bantuan kemanusiaan itu adalah melalui penglibatan pasukan tersebut membantu mangsa tsunami di Palu menggunakan pesawat pengangkut A400M.

“Seperti dimaklumkan, pesawat pengangkut A400M merupakan satu-satunya pesawat angkut yang berjaya menerbangkan jentera besar dan berat terus dari Jakarta ke tempat bencana di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Palu.

Maka, ia mencatat rekod kepada pesawat berkenaan membawa muatan sebuah ‘excavator’ (mesin pengorek) dengan berat 22 tan dengan tambahan barang lain sebanyak empat tan sekali gus mencatat jumlah keseluruhan muatan seberat 26 tan,” katanya.

Pada September lepas, gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami itu telah mengorbankan ribuan nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan. 

Mengenai cadangan pembelian dan pemilikan pesawat atau jet pejuang TUDM yang baharu, Affendi berkata TUDM sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan dan kepakaran sumber manusia berlandaskan doktrinisasi selari dengan kemampuan semasa.

“Untuk masa hadapan TUDM telah membuat perancangan untuk mengurangkan jumlah jenis pesawat kepada pelbagai peranan yang mampu melaksanakan beberapa tugasan dalam satu penerbangan.

Demikian itu, kos pengurusan dan pengoperasian dapat dijimatkan dan mampu mencapai objektif pertahanan udara,” katanya.

Beliau berkata perancangan berkenaan diterjemahkan dengan adanya perancangan pembangunan jangka panjang CAP55 TUDM.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan