EKONOMI

Malaysia akan benarkan kilang nadir bumi Lynas terus beroperasi

30/05/2019 10:20 PM

Daripada Noor Soraya Mohd Jamal

TOKYO, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia, Lynas Corp untuk terus beroperasi di negara itu,  kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman oleh perdana menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

"Ya, kami akan perbaharui lesen Lynas," katanya pada dialog dan sidang media dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di sini, hari ini.

Akhir tahun lepas, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim  mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara itu.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar daripada Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF),  LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.)

Dr Mahathir berkata Malaysia pernah melalui pengalaman pahit melibatkan sisa radioaktif  dan menjangkakan tiada sebarang masalah apabila membenarkan Lynas beroperasi.

"Semasa kami mempelawa Lynas untuk melabur, kami tidak fikir terdapat sebarang masalah dengan sisa radioaktif, jika sebaliknya, kami perlu bincang bagaimana untuk melupuskannya (sisa). Jadi, tiada kesan tempatan.

"Lynas dibenarkan untuk terus beroperasi kerana kami tidak mahu kehilangan pelaburan besar dari  Australia," katanya.

Sebelum ini, Lynas Malaysia Sdn Bhd dilaporkan yakin bahawa lesen operasi mereka akan dilanjutkan sebelum tarikh tamat pada September. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amanda Lacaze berkata ini kerana Lynas telah memenuhi semua syarat peraturan ditetapkan dan telah mematuhinya sejak kilang memperoses nadir bumi itu mula beroperasi di Gebeng.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan