BATU PAHAT, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor akan memberikan tumpuan di enam sektor yang kerap berlakunya kemalangan di Daerah Batu Pahat termasuk di lokasi kemalangan maut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Supt M Kumarasan berkata enam sektor berkenaan adalah Parit Raja, Ayer Hitam, Yong Peng, Bandar Batu Pahat, Parit Sulong dan juga Rengit.
Selain itu, penumpuan turut dilakukan di empat lokasi hotspot berlakunya kemalangan maut itu iaitu di KM20 - KM34 Jalan Kluang berhampiran Parit Raja; KM100 - KM125 Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran dengan Rengit - Senggarang; KM100 - KM115 Jalan Johor Bahru - Seremban berhampiran dengan Yong Peng dan KM135 - KM136 Jalan Johor Bahru - Melaka berhampiran dengan Tanjung Laboh.
“Sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd semalam, selain memindahkan Pusat Kawalan dan Pemantauan Trafik (Subtek) dari Johor Bahru ke Batu Pahat, anggota polis trafik yang bertugas di sini (Batu Pahat) juga akan ditambah.
“Pada tahun ini kekuatan polis trafik yang akan bertugas di Batu Pahat bersempena Op Selamat 15, bagi Hari Raya Aidilfitri adalah terdiri daripada sembilan pegawai dan 55 anggota,” katanya pada sidang media Subtek Op Selamat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor di Bilik Gerakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Batu Pahat, di sini, hari ini.
Kata Kumarasan lagi, kemalangan maut di Daerah Batu Pahat mencatat 67 kes pada tahun ini sehingga semalam, berbanding 68 kes pada tahun lalu dalam tempoh yang sama.
Katanya, bagi Jalan Kluang sahaja sehingga semalam, kemalangan maut yang berlaku telah mencatat sebanyak 54 kes dengan faktor sikap serta kecuaian telah dikenal pasti menjadi antara punca utama kemalangan yang berlaku.
Terdahulu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak, dilaporkan berkata Daerah Batu Pahat merekodkan jumlah kematian akibat kemalangan maut tertinggi sebanyak 554 kes dalam tempoh tiga tahun ini.
Beliau dilaporkan berkata, Jalan Batu ke Kluang yang merentasi Ayer Hitam dikenal pasti laluan ‘titik panas’ berikutan banyak merekodkan kemalangan maut.
Selain di Batu Pahat, empat lagi kawasan yang menjadi titik panas kepada kemalangan maut di negara ini adalah di Ipoh, Perak; Kajang, Selangor; Johor Bahru dan juga Kluang di Johor.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan