AM

FAHMI GUNA PERUNTUKAN RM200,000 ANGGOTA PARLIMEN LEMBAH PANTAI BAIK PULIH BALAI POLIS, KUARTERS

27/05/2019 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih balai polis dan kuarters Bukit Aman yang berada di bawah kawasan parlimennya.

Balai polis berkenaan adalah Balai Polis Pantai, Balai Polis Travers dan Balai Polis Petaling.

Beliau berkata setiap balai polis dan kuarters diperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk kos baik pulih berkenaan.

“Peruntukan (di bawah pejabat Anggota Parlimen Lembah Pantai) telah saya luluskan dan akan berbincang dengan Ketua Balai Polis serta pihak kuarters Bukit Aman untuk apa yang perlu dibaik pulih.

“Saya telah hantar pegawai ke lapangan (balai terlibat) untuk berbincang dengan mereka (ketua balai polis) untuk melihat apa yang mereka perlukan. Selain itu, kita beri peluang sendiri kepada mereka untuk tengok mana yang perlu dibaiki dan kita akan bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis iftar mycommunity@care di Masjid Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja baik pulih balai polis dan kuarters itu akan dijalankan dalam masa beberapa bulan lagi.

Fahmi berkata peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada ‘Aku Janji’ yang dibuat kepada pasukan keselamatan berkenaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Ini merupakan sebagai balasan atas khidmat yang diberikan mereka dalam menjaga keselamatan dan keamanan di kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menzahirkan terima kasih kepada Fahmi kerana amat prihatin mengenai kebajikan anggotanya terutamanya di kawasan Lembah Pantai.

Turut hadir majlis iftar berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

— BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan