AM

Jangan ambil mudah soal perpaduan masyarakat majmuk - Gobind

26/05/2019 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia digesa supaya tidak leka dalam meneruskan usaha menjaga kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, serta menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, keunikan masyarakat Malaysia adalah sesuatu yang amat istimewa dan menjadi daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

Menurutnya, pada masa sama, masyarakat Malaysia dan di seluruh dunia juga kini didepani dengan pelbagai ancaman dan cabaran terutama di alam maya.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menangani isu-isu dan masalah-masalah yang bakal membawa impak yang negatif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Vaisakhi peringkat kebangsaan di sini hari ini. 

Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh Punjabi.

Sementara itu, Gobind berkata ,walaupun kerajaan memastikan media kekal bebas, ia bukan bererti fitnah dan berita palsu boleh disebar dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan menghalang perbuatan pihak yang cuba mengeruhkan perpaduan antara kaum dan keharmonian rakyat.

“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia wajib dipertahankan dan diperkukuhkan demi masa depan yang lebih cerah dan makmur,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan