AM

Sepakat Ihya Ramadan komuniti 2019 ringankan beban asnaf sambut Syawal

25/05/2019 09:54 PM

JOHOR BAHRU, 25 Mei (Bernama) -- Jabatan Penerangan Johor dengan dengan kerjasama Pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar hari ini menyampaikan bantuan Ramadan kepada 60 golongan asnaf Taman Universiti, Skudai.

Bantuan menerusi program 'Sepakat Ihya Ramadan Komuniti 2019' itu disampaikan di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Skudai.

ADUN Kota Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata kesemua sumbangan melibatkan perbelanjaan RM6,000 itu merangkumi barangan keperluan dapur dan duit raya.

Beliau berkata program itu amat baik sebagai wadah untuk merapatkan hubungan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat selain dapat memberikan kegembiraan kepada golongan kurang bernasib baik.

"Saya mengharapkan program sebegini terus disuburkan dan terus diperbanyakkan kerana statistik rakyat golongan B40 dan E-Kasih yang didaftarkan semakin meningkat, jadi, tanggungjawab ini perlu digalas oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan manna-mana individu berkemampuan,” katanya yang ditemui pemberita pada program itu di sini hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Khatijah Mahmood, 60, berkata sumbangan berkenaan amat membantu dirinya dan keluarga menjalani 10 hari terakhir Ramadan dan persediaan menyambut Syawal.

Aminnuddin Ahmad, 53, pula bersyukur kerana terpilih sebagai penerima sumbangan tersebut.

"Sebagai seorang pesara kerajaan yang sebatang kara, sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban untuk membuat persiapan raya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan