AM

 Tiada perbincangan hapus sekolah vernakular - TPM

24/05/2019 08:29 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Mei (Bernama) -- Tidak ada sebarang perbincangan oleh kerajaan berhubung cadangan menghapuskan sekolah vernakular,  kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan berhubung perkara berkenaan yang dibangkitkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak pernah dibawa atau diusulkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

Dr Wan Azizah, yang juga  Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, berkata beliau sudah lama telah menyedari desakan dan cadangan perkara berkenaan, bagaimanapun sehingga kini  masih belum dibincangakan dengan lebih terperinci.

"Sebenarnya kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia sebenarnya memberi kelebihan kepada masyarakat di negara ini untuk belajar pelbagai bahasa. Apa salahnya kita belajar bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, malah ini sebagai aset negara.

 "Sewaktu kunjungan saya ke Geneva baru-baru ini, mereka di sana boleh bercakap sehingga lima bahasa, jadi apa salahnya kita belajar bahasa Tamil dan Mandarin, Inggeris ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Yayasan Aman di Penanti, dekat sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas desakan NGO menerusi satu memorandum, yang  mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di pejabatnya  di Putrajaya, kelmarin.

Memorandum itu adalah susulan daripada kenyataan Maszlee mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menyambut baik kritikan yang dilemparkan oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin supaya mana-mana menteri, menteri besar dan anggota exco kerajaan negeri  yang kurang menyerlah meletak jawatan mereka  secara sukarela.

“Saya menyambut baik kritikan itu dan kita akan cuba baiki sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan