TUMPAT, 21 Mei (Bernama) -- Penyeludupan lembu menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan menjadi punca penularan wabak penyakit kuku dan mulut membabitkan ternakan lembu di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata ini kerana lembu yang dibawa masuk secara tidak sah itu tidak melalui proses kuarantin dan suntikan vaksin.
“Kita dapati sejumlah 10 kes wabak penyakit kuku dan mulut melibatkan ternakan lembu berlaku di seluruh negara sehingga April tahun ini dan ia satu jumlah yang agak besar berbanding keseluruhan 35 kes sepanjang tahun lepas.
“Kebanyakan wabak tersebut dikesan berlaku di Pahang, Johor dan Melaka dan kita dapati kebanyakan lembu terbabit adalah dari Kelantan yang dibawa masuk secara yang tidak sah melalui Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Penternak Jajahan Tumpat di sini, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Wan Johari Wan Omar dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan Suratan Kamarudin.
Program tersebut bagi memberi pendedahan berkaitan fungsi jabatan dan agensi dalam membantu industri penternakan selain satu platform menyalurkan pendapat dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan penternak yang telah berjaya.
Dalam pada itu Quaza berkata pelbagai peluang menjana pendapatan mampu diraih menerusi bidang penternakan termasuk perusahaan tanaman untuk ternakan dan bidang pembiakbakaan melalui permanian beradas.
Katanya setakat ini Malaysia hanya mampu menyediakan kira-kira 23 peratus bekalan daging dan lembu tempatan manakala selebihnya atau 77 peratus lagi adalah diimport daripada pelbagai negara lain.
“Jumlah pengeluaran ternakan juga agak statik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Kita harap lebih ramai rakyat mengambil peluang menceburi bidang ternakan kerana pasarannya yang amat besar di negara ini,” katanya.
Katanya jabatan veterinar sentiasa berusaha membantu mereka yang berminat menceburi bidang penternakan melalui pelbagai program dan kursus yang disediakan.
Sementara itu katanya pihak jabatan telah mengambil beberapa pendekatan bagi mengurangkan kos atau harga makanan ternakan termasuk menjalin kerjasama strategik dengan Felda Global Ventures Holdings Berhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial