AM

Operasi khas pemutihan: indeks jenayah Johor Bahru menurun

12/05/2019 11:53 AM

JOHOR BAHRU, 12 Mei (Bernama) -- Indeks jenayah di daerah Johor Bahru menurun kepada 761 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 7 Mei tahun ini berbanding 924 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kadar penurunan kes jenayah itu adalah berikutan Operasi Khas Pemutihan yang dijalankan di sekitar daerah ini dan sejajar dengan penetapan Tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Johor.

“Kadar kes jenayah menunjukkan penurunan 163 kes  iaitu 17.64 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah melaksanakan inisiatif Operasi Khas Pemutihan untuk membanteras pelbagai masalah jenayah bagi memastikan bandar raya Johor Bahru bebas daripada masalah sosial, penagihan dadah, jenayah ragut dan gelandangan.

Polis Johor, sehubungan itu, akan meneruskan dan memperluaskan Operasi Khas Pemutihan di semua daerah di negeri ini.

“Semua Ketua Polis Daerah telah diarahkan untuk melaksanakan  operasi ini di lokasi-lokasi yang dikesan sebagai kawasan terdedah kepada penagihan dadah, jenayah ragut, gelandangan  serta kawasan sering berlakunya gejala sosial.

“Ini bagi memastikan  keadaan di negeri Johor selamat untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Johor 2020,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan