AM

Pewujudan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan penuhi keperluan masyarakat 

10/05/2019 10:48 PM

Oleh Mahayudin Mohamad

SANDAKAN, 10 Mei (Bernama)  -- Pewujudan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan sejak 43 tahun lepas dapat memenuhi keperluan masyarakat sebagai pusat latihan penting memberikan kemahiran kepada golongan itu.

Pusat itu telah beroperasi sejak 1976 di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah dan memberikan perkhidmatan kebajikan percuma kepada masyarakat di sekitar daerah ini. 

Penguasa taman itu, Syaidatul Syafekah Salleh berkata peranan utama pusat itu adalah memberi kemahiran menguruskan diri kepada kanak-kanak kurang upaya agar mampu berdikari dan menjaga kebersihan diri apabila dewasa. 

Kanak-kanak istimewa itu tidak dibebankan dengan akademik tetapi jika mereka sendiri yang ada kecenderungan ke arah itu, ia adalah satu bonus, katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya fokus latihan pengurusan diri kepada kanak-kanak di pusat itu sebelum usia 14 tahun ialah mandi, makan dan memakai baju. 

Katanya turut diberi latihan adalah pra asas akademik, latihan motor halus iaitu mewarna, sambung titik, mengenal asas huruf dan nombor dan sekurang-kurangnya mereka kenal nama sendiri serta latihan pertuturan.

Pada masa sekarang, pusat itu menempatkan 11 anak kurang upaya  bawah usia 14 tahun yang dipanggil pelatih, terdiri daripada enam orang autisme, tiga orang sindrom down dan seorang masing-masing kurang upaya dan satu masalah pembelajaran.

Syaidatul Syafekah berkata terdapat lima pelatih datang secara harian yang tinggal sekitar Pekan Sandakan dan dihantar oleh ibu bapa dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari persekolahan. 

Katanya bagi pelatih yang tinggal jauh dari bandar Sandakan, mereka tinggal di asrama  pusat itu dan pihak taman bertanggungjawab menghantar mereka pulang apabila cuti persekolahan dan akan di jemput kembali apabila minggu persekolahan dibuka.

Menurutnya kiteria pengambilan mestilah mematuhi syarat iaitu warganegara Malayisa dan ada kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan prosedur pengambilan ialah orang ramai mesti mengambil borang di Pejabat Jabatan Kebajikan Bahagian Sandakan di Bangunan Negeri Batu 7.

Selepas borang diterima, pihak taman akan membuat siasatan dan lawatan ke rumah untuk penilaian bagi memastikan kanak kanak itu mampu dilatih, katanya.

Syaidatul Syafekah telah berkhidmat di pusat itu sejak Januari 2013 sebagai jururawat terlatih  dan mengambil alih tugas sebagai Penguasa sejak ogos 2018 hingga kini dengan jumlah kakitangan ialah 10 orang.

Katanya meskipun kapasiti di pusat itu mampu mencapai 30 pelatih tetapi ia tertakluk kepada kekuatan mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Kakitangan  sedia ada bekerja mengikut syif siang dan malam, sekiranya ada pertambahan pelatih, ia turut memerlukan lebih staf bagi mengawasi dan menjaga anak-anak istimewa itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan