KUANTAN, 8 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang penganggur yang disyaki menggunakan lori tiga ton untuk mengangkut 200 tong drum dan dinding kabin kontena yang dicuri daripada sebuah syarikat kontraktor membuat lebuh raya di sini untuk dijual sebagai besi buruk.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia 20 tahun itu ditahan pada 3 petang semalam, di sebuah rumah di Padang Tengku, Lipis.
Katanya, suspek dipercayai mencuri barangan tersebut dari stor penyimpanan syarikat itu yang terletak berhadapan lebuh raya Kuala Lipis-Gua Musang di Felda Telang Kechau, Lipis.
"Kehilangan tong drum yang setiap satu bersaiz 200 liter bersama dua keping dinding kabin kontena itu hanya disedari oleh kontraktor syarikat itu pada petang Isnin lalu.
"Suspek dipercayai memotong kunci mangga pagar untuk masuk ke dalam stor itu dan telah membuat beberapa trip bagi mengangkut barangan tersebut berdasarkan kesan tayar yang banyak di situ," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Azli berkata siasatan di sebuah kedai membeli dan menjual besi buruk di bandar Lipis juga menemui 15 tong drum berwarna merah, hijau dan biru yang dipercayai dicuri suspek.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial