EKONOMI

Pembuatan pintar pacu pertumbuhan perniagaan

08/05/2019 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kalangan syarikat terutama yang terbabit dalam industri pembuatan elektrik dan elektronik, digesa mengamalkan pembuatan pintar khususnya di bahagian operasi bagi meraih manfaat pendigitalan, kata Presiden SEMI Southeast Asia Ng Kai Fai.

Beliau berkata, seiring Revoulisi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), aspek pendigitalan dalam perniagaan juga penting bagi memastikan syarikat tersebut dapat mendahului pesaing dan pada masa sama mampu mengurangkan kos pengeluaran, mempertingkat produktiviti serta pulangan.

Menurutnya, setakat ini pelaksanaan pembuatan pintar yang serba sofistikated itu hanya  bertumpu di peringkat utama atau hadapan perniagaan ketika syarikat mulai memahami keperluan teknologi dalam operasi balik tabir syarikat serta mula melabur dalam aspek itu.

“Pelaksanaan aspek automasi, data, sistem perancangan serba maju, kecerdikan buatan serta teknologi lain hanya menjadikan pembuatan yang lebih pintar.

"Ini bermakna kurangnya interaksi manusia (dalam keseluruhan proses) dan semua perkara (termasuk kesilapan) dapat dikesan dari awal hingga akhir proses. Oleh itu, adalah penting untuk syarikat melaksanakan pembuatan pintar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi kunjungan media ke pavilion kilang pintar yang memaparkan kelengkapan pintar, robotik dan automasi selain teknologi realiti augmentasi atau luasan dan realiti maya yang diadakan di pameran dagangan SEMICON Southeast Asia 2019 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ng berkata bersandarkan kesukaran integrasi platform internet pelbagai benda ke dalam ekosistem tradisional, kalangan pemain industri sebaliknya semakin menjauhi usaha bagi memanfaatkan sepenuhnya pelbagai penyelesaian pembuatan pintar.

“Proses bahagian hadapan operasi agak standard namun bahagian belakang adalah lebih kompleks kerana memerlukan pelbagai jenis mesin bagi tujuan pengujian, susunan dan sebagainya.

“Berikutan kesukaran itu, wujud kekangan sejauh mana satu-satu syarikat itu dapat menggunapakai aspek automasi itu dan menyebabkan lebih banyak kebergantungan terhadap interaksi manusia yang ada masanya boleh menyebabkan kesilapan," katanya.

Selain itu, Ng turut mengingatkan syarikat agar berani mengambil langkah awal ke arah usaha pendigitalan dan perlu menolak mentaliti mengutamakan pelaburan tinggi semata-mata bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaan.

“Jika kita meneruskan cara tradisional, kita tidak mungkin dapat meningkatkan rantaian nilai itu secara menyeluruh.

“Pembuatan pintar bukan lagi mengenai bilakah masa yang sesuai, sebaliknya sesuatu yang mesti dilakukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan