AM

Melaka nilai semula keselamatan produk pelancongan

03/05/2019 06:59 PM

MELAKA, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka akan menilai semula semua produk pelancongan negeri itu terutama melibatkan aspek keselamatan bagi memastikan pelancong selesa dan selamat ketika menggunakan produk-produk berkenaan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak mahu insiden seperti monorel pelancongan yang beroperasi di Jalan Tun Ali di sini terhenti di tengah perjalanannya semalam, berulang kembali, kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pelancong dan juga imej negeri. 

Katanya penilaian aspek keselamatan itu juga bertujuan memastikan agensi atau syarikat yang menguruskan produk pelancongan terlibat mempunyai pelan kontingensi atau kaedah terbaik sekiranya berhadapan situasi di luar jangkaan.

"Kita tidak akan berkompromi, tidak ada tolak ansur dalam isu melibatkan keselamatan pelancong dan kita juga maklum operasi monorel itu sebelum ini telah beberapa kali terhenti dan menyebabkan penumpang atau pelancong yang menaikinya terkandas.

"Contoh sekiranya ingin menganjurkan 'fun fair' harus berurusan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untik mendapatkan pensijilan, begitu juga dengan pengoperasian monorail berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mobil Ehsan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Terencat Akal di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan monorel itu yang dinaiki tiga penumpang terhenti akibat mengalami kerosakan si pesisiran Sungai Melaka, menyebabkan anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membawa mereka turun menggunakan tangga.

Mengulas pengoperasian monorel berkenaan, Adly berkata ia akan diteruskan memandangkan perkhidmatan itu merupakan salah satu ikon pelancongan Melaka namun pihaknya mahu syarikat pengurusan monorel itu melaporkan punca gangguan itu.

Beliau berkata penambahbaikan juga perlu sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa untuk memberi keselesaan kepada pelancong selain mengelak insiden sama berulang.

"Pelaburan yang tinggi telah dibuat untuk mengoperasikan monorel itu dan saya yakin hasil perbincangan dan penilaian semula akan membantu syarikat terlibat mencari mekasnisme terbaik menangani insiden sama pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan