AM

Pulau Pinang jadi lokasi pertama taklimat Skim PSK CBP

03/05/2019 04:35 PM

SEBERANG JAYA, 3 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menjadi destinasi pertama bagi Co-opbank Pertama (CBP) untuk mengadakan taklimat Skim Pembiayaan Sektor Koperasi (PSK) selepas majlis pelancaran skim itu di Kuala Lumpur pada 10 April lalu, kata Pengerusi CBP Kamari Zaman Juhari hari ini.

Katanya pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi sulung taklimat itu bukan hanya kerana ia lokasi kelahiran CBP, malah negeri ini juga memegang rekod cawangan CBP paling banyak dan keanggotaan paling tinggi iaitu 105 orang ahli daripada keseluruhan 706 ahli di seluruh negara.

Menurutnya dengan menggunakan tema 'Membangun Bersama CBP', skim itu merupakan salah satu inisiatif CBP dalam membantu sektor koperasi di Malaysia bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Tujuan utama skim ini ialah untuk memberi peluang kepada koperasi-koperasi untuk membesarkan, menguruskan dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan yang produktif... bukannya memberi pinjaman untuk membayar hutang,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata CBP memperuntukkan dana RM700 juta untuk skim ini yang akan dikeluarkan secara berperingkat sehingga tahun 2020, di mana pemberian pinjaman diberikan berdasarkan kos projek yang ingin dibangunkan dengan nilai maksimum RM40 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan