AM

Kertas bahasa Inggeris PT3 dijajarkan kepada CEFR mulai tahun ini

02/05/2019 09:13 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Mulai tahun ini, kertas bahasa Inggeris Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dijajarkan kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR), diikuti  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021, dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR) pada 2022. 

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata dengan penjajaran penilaian peperiksaan kertas bahasa Inggeris UPSR, PT3 dan SPM kepada CEFR, murid akan mengetahui tahap penguasaan CEFR bahasa Inggeris masing-masing. 

"Pernyataan tahap penguasaan dengan deskriptor 'can do' merupakan piawaian antarabangsa yang membuktikan kebolehan murid dalam penguasaan setiap kemahiran berbahasa Inggeris," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan panel pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) sesi 2018-2020 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini. 

CEFR yang berasal dari Eropah kini merupakan kerangka yang digunakan secara global untuk pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Jepun dan Perancis. 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Maszlee berkata MPSKBI ditubuhkan untuk mengawal piawaian dan kualiti bahasa Inggeris di Malaysia supaya mencapai tahap antarabangsa. 

Sebanyak enam daripada tujuh ahli panel terdiri daripada pakar bahasa Inggeris dari universiti, badan profesional bahasa Inggeris dan individu yang aktif dalam penyelidikan, menerima watikah pelantikan sebagai panel MPSKBI pada majlis hari ini. 

Mereka ialah profesor adjung di Universiti Pendidikan Sultan Idris  Profesor Adjung Dr Zuraidah Mohd Don;  Profesor Dr Anna Christina Abdullah dari Wawasan Open University Pulau Pinang; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Hazita Azman, dan mantan profesor madya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Datin Dr Mardziah Hayati Abdullah. 

 Tiga lagi ahli panel MPSKBI ialah profesor madya di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara Profesor Madya Dr Ramesh Nair Raman Nair, jurulatih pemeriksa bagi Cambridge International English Language Testing System (IELTS) P.Jaya Pushani dan Profesor Madya Dr Ranjit Singh Gill dari Quest International University, Perak. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan