SEMPORNA, 27 April (Bernama) -- Kesejahteraan dinikmati Malaysia yang memiliki 80 etnik suku kaum sejak dahulu sehingga kini merupakan asas serta agenda sentiasa diberi keutamaan kerajaan pusat dan negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata antara usaha memelihara kesejahteraan itu ialah kerajaan memberi pengiktirafan semua budaya etnik dimiliki secara turun-temurun sama ada dalam bentuk tarian, permainan sukan dan alat yang digunakan.
"Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menguatkan dan memelihara serta memperkasa keutuhan perpaduan dalam kalangan 80 etnik suku kaum di negara ini," katanya ketika berucap merasmikan ‘Sangom Maglami Lami’ (Malam Beramai-ramai) sempena Regatta Lepa Jubli Perak 2019 di sini, malam tadi.
Hadir sama pada pesta air itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Mengenai Regatta Lepa yang menonjolkan budaya suku Bajau Semporna, Mohd Shafie berkata sambutan Regatta Lepa yang diraikan setiap tahun pada setiap minggu ketiga bulan April, sememangnya memiliki keunikan tersendiri.
Menurutnya, bukan sahaja “Lepa” atau perahu tradisi dan perahu berhias diperagakan suku kaum Bajau di daerah ini, malah keunikan itu turut menarik perhatian pelancong berkunjung ke Semporna sekali gus produk budaya tersebut menjadi salah satu pakej boleh dipasarkan dalam industri pelancongan.
"Tentunya pesta ini secara tidak langsung memberi limpahan dan impak yang besar kepada usaha mempromosi daerah ini dari sudut pelancongan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kewujudan Regatta Lepa Semporna turut memperkayakan lagi khazanah kebudayaan Sabah.
Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata khazanah berkenaan perlu dipelihara dan didokumentasikan bagi generasi masa depan sebagai satu produk kebanggaan suku kaum Malaysia etnik Bajau.
Di samping itu, katanya kerajaan Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan kerjasama Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan terus memelihara kepelbagaian budaya etnik yang ada di Sabah, seiring dengan pembangunan dilaksanakan di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial