KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Kajian al-Quran dalam pelbagai perspektif merupakan antara perkara baharu yang akan diperkenalkan sepanjang program Madinah Ramadan yang berlangsung setiap hari pada bulan puasa ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kajian al-Quran itu akan mendedahkan pengunjung kepada keistimewaan kalam Allah selain turut mendedahkan kepada kajian sains dan nasihat-nasihat yang terkandung di dalamnya.
"Langkah ini diambil supaya Islam ini dilihat sebagai agama yang lengkap dan tidak hanya merangkumi aspek ibadat, muamalat dan munakahat sahaja tetapi aspek keseluruhan yang berkaitan dengan hidup manusia.
"Kami nak galakkan supaya anak bangsa kita tahu dan boleh mengertai al-Quran terutama sepanjang Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Madinah Ramadan di Medan Ilmu di sini, hari ini.
Beliau berkata program yang bermula dengan berbuka puasa, solat sunat tarawih sehingga bersahur itu akan menelan belanja kira-kira RM1.8 juta dengan jangkaan 3,000 pengunjung pada setiap hari.
Katanya program tersebut turut meraikan anak-anak yatim dan orang miskin yang memerlukan bantuan.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan