SUKAN

Sirkit Memanah Tradisional medan cungkil bakat baharu

21/04/2019 04:49 PM

SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Sirkit Memanah Tradisional yang dianjurkan Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia menjadi medan terbaik dalam mencungkil bakat baharu di peringkat kanak-kanak dan remaja dalam melahirkan pemanah profesional untuk mewakili negara pada masa depan.

Presiden pertubuhan itu, Muhammad Akmal Mohamad Dahalan berkata menerusi program tersebut, kesemua pemanah cilik akan diberi pendedahan mengenai aspek kemahiran memanah selain memperkenalkan mereka dengan pemakaian tradisional yang digunakan orang terdahulu.

"Kebanyakan masyarakat kita semakin melupakan adat resam serta budaya seperti pakaian tradisional di negara ini. Jadi melalui program seperti ini, kita dapat mengembalikan semangat memanah yang kita ketahui telah ada sejak dahulu lagi selain mengeratkan lagi semangat perpaduan kaum di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, aktiviti sukan memanah tradisional bukan sahaja terhad kepada orang Melayu bahkan turut menarik minat kaum lain untuk menyertainya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada program Sirkit Memanah Tradisional Sekolah-sekolah Tertutup Negeri Sembilan Siri 1/2019 di sini, hari ini.

Pada 26 Dis lepas, pemanah tradisional remaja Lee Jin Ming muncul sebagai pemanah berkuda nombor dua dunia selepas dinobatkan sebagai naib juara pada Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-14 di Korea Selatan melibatkan peserta berusia bawah 16 tahun. 

Lebih membanggakan, pemanah berusia 13 tahun itu hanya mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menunggang kuda dan berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam memanah tradisional, beliau berjaya meraih tempat kedua bagi kategori ‘single shot’.

Sementara itu, pemanah cilik, Izz Hakim Idzme Mohd Faizul Idzme, 7, berkata beliau minat menceburi sukan memanah selepas didorong oleh bapanya.

“Program memanah ini bukan sekadar sahaja dapat mengasah kemahiran memanah dan mempertajam fokus saya semata-mata tetapi ia juga mendidik saya untuk mengenali adat resam pelbagai kaum, katanya.

Program sehari itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon dan ia sertai 96 peserta berumur seawal 7 tahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan