AM

UKM bangunkan sistem pengering mesra alam untuk produk pertanian, makanan

20/04/2019 05:33 PM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

TANJUNG MALIM, 20 April (Bernama) -- Pengeringan produk pertanian atau makanan mengikut kaedah tradisional secara terbuka di bawah sinaran matahari boleh mendatangkan masalah akibat terdedah kepada pencemaran udara selain menjejaskan kualiti dan kebersihan produk.

Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Solar (SERI)  dan Fakulti Sains dan Teknologi telah menghasilkan sistem pengering suria rumah hijau yang mesra alam untuk mengeringkan produk pertanian laut, herba serta makanan.

Felo Penyelidik UKM, Prof Dr Mohd Hafidz Ruslan berkata sistem berkenaan dihasilkan dalam kebuk pengeringan dari kepingan polikarbonat atau keluli tahan karat, rak bertingkat serta penggunaan kipas yang dijana menggunakan tenaga elektrik daripada panel fotovoltan.

"Sistem pengeringan tenaga solar ini dapat mempercepatkan proses pengeringan berbanding secara tradisional kerana sistem tersebut dapat mengelakkan ancaman serangga dan binatang seterusnya lebih bersih dan dijamin mutu hasil produk.

Mohd Hafidz ditemui Bernama selepas menghadiri Program Hari Bumi 2019 dan pelancaran sistem berkenaan yang dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Behrang, Aminuddin Zulkipli di Proton City di sini hari ini.

"Selain itu, sistem tersebut dapat mengawal suhu di dalam kebuk pengeringan dengan cara mengawal aliran udara sekali gus produk yang melalui proses pengeringan dapat dihasilkan dengan lengkok pengeringannya," katanya.

Beliau berkata penyelidikan yang menggunakan geran universiti penyelidikan itu diterajui oleh beberapa penyelidik dari UKM dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris.Satu unit sistem itu menelan kos kira-kira RM20,000.

Katanya, sistem pengeringan itu telah menjalni proses percubaan  di beberapa negeri iaitu di Chuping, Perlis; Taiping, Bidor dan Tanjung Malim di Perak; Semporna, Sabah serta Pontian, Johor.

Sistem pengeringan ini mampu menghasilkan suhu antara 40 hingga 60 darjah Celcius yang sesuai untuk pengeringan produk pertanian terutaman herba yang hanya mengambil masa dua hingga tiga hari untuk melalui proses pengeringan, katanya.

Beliau berkata sistem pengeringan itu bertujuan supaya penyimpanan bahan atau produk itu tahan lebih lama sementara bahan yang kering boleh disimpan untuk menghasilkan produk hasil laut seperti ikan kering, ikan bilis selain herba dan buah-buahan.

Mohd Hafidz berkata pihaknya turut merancang untuk mengkomersialkan sistem pengeringan berkenaan khusus untuk pihak yang terlibat dalam industri makanan atau pertanian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan