AM

Raja Perlis harap nilai perpaduan diberi penekanan di sekolah

18/04/2019 07:28 PM

KANGAR, 18 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta mata pelajaran Sejarah diberi penekanan di sekolah sebagai pemangkin perpaduan rakyat.

Baginda bertitah, peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang mencalar keharmonian kaum perlu menjadi iktibar supaya ia tidak berulang lagi.

“Rusuhan kaum yang memuncak dalam peristiwa itu menyaksikan  negara mengalami kerugian kerana ramai rakyat terkorban dan banyak harta benda musnah.

"Di sinilah pentingnya kedua-dua subjek itu untuk melahirkan pelajar yang menghargai negara dan menghormati perpaduan berteraskan Rukun Negara,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma 2019 di Dewan Syed Mahmood di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail dan Pengetua SMK Derma, Fauziah Abdul Hamid.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga alumni SMK Derma (1980-1982) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut membuka kapsul masa secara simbolik yang telah ditanam oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail 20 tahun lalu iaitu pada 1 Ogos 1999.

Raja Perlis itu turut menyampaikan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat sekolah itu kepada Najah Afiqah Rose Aza yang memperolehi semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan