MIRI, 14 April (Bernama) -- Polis menahan lapan suspek pengedar dadah termasuk seorang wanita warga Indonesia dalam serbuan di sebuah premis inap desa di sini petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata, dalam serbuan di tiga lokasi berasingan premis inap desa itu, syabu seberat 213.19 gram serta 31 biji pil erimin 5 seberat 9.77 gram turut dirampas.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM25,965 manakala kereta mewah BMW 320i dan motosikal R25 bernilai keseluruhan RM65,000 turut disita,"katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Sahar berkata, serbuan pertama dilakukan di kaki lima hadapan premis inap desa tersebut pada pukul 6.30 petang semalam dengan penahanan seorang lelaki tempatan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai syabu serta pil erimin 5 dalam beg silang suspek,"katanya.
"Susulan penahanan suspek pertama, polis membuat serbuan serentak ke dua buah bilik berasingan pukul 6.40 petang dengan menahan tujuh suspek lagi serta menemui syabu dan pil erimin 5,""katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan lapan suspek yang ditahan ialah enam wanita termasuk seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki yang berusia 25 tahun hingga 46 tahun.
"Aktiviti pengedaran dadah bermula pada Mac 2019 di sekitar kawasan penginapan inap desa berkenaan,"katanya.
Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kesemua lapan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan penyalahgunaan dadah manakala tujuh suspek lain tiada rekod.
"Kesemua suspek telah ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,"katanya sambil menambah siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan 39A(1) akta yang sama.
Katanya, serbuan tersebut telah dilakukan oleh pasukan JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial