KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Peneraju perbankan dan kewangan Islam perlu lebih proaktif memberi penekanan terhadap aspek kemampanan perbankan seperti yang dilaksanakan oleh industri perbankan konvensional.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali berkata industri perbankan Islam pada masa sekarang, sudah mempunyai asas tersebut tetapi ianya kurang diberi penekanan.
“Perbankan konvensional mendahului dalam aspek kemampanan perbankan. Ia tidak memberi maksud industri perbankan Islam terkebelakang namun kita mahu ianya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan industri konvensional.
“Ia bukan asing tetapi merupakan asas buat kita untuk dimajukan secara sepenuhnya,” katanya selepas ditemui pemberita pada majlis Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2019 di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd, berkata peneraju industri perlu mengambil pendekatan lebih berani supaya pihak lain menyedari bahawa industri perbankan Islam juga menitik beratkan soal kemampanan perbankan.
Dalam ucapannya, beliau berkata mutakhir ini dinamisme sektor perbankan dan kewangan Islam di peringkat global telah mengalami transformasi daripada sebuah komponen alternatif kepada komponen arus perdana serta kompetitif.
Muzakarah kali ke-13 itu mengumpulkan para cendiakawan Syariah, ahli akademik dan pengamal Perbankan dan Kewangan Islam bagi membincang dan mengupas isu-isu berkaitan industri itu.
Industri perbankan Islam berkembang sebanyak 11 peratus pada 2018 berbanding 10.3 peratus pada 2017.
Sehingga Januari 2019, pembiayaan Islam merangkumi 32 peratus daripada keseluruhan pinjaman di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial