MARANG, 11 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat yakin sasaran 700 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dapat dicapai sebelum akhir 2021.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata setakat ini terdapat 466 anggota STORM di seluruh negara dan mereka mempunyai kemahiran dalam berdepan operasi kecemasan.
"Kami yakin dapat capai sasaran itu kerana kami sudah ubah pendekatan dari segi pemilihan untuk menyertai STORM. Dulu kami tawarkan kepada sesiapa yang berminat iaitu anggota yang bertugas di balai dan bahagian di ibu pejabat.
"Namun, sekarang kami buat pemilihan lebih awal iaitu di peringkat rekrut lagi untuk diserapkan dalam STORM...kami kenal pasti dari awal sebab tu kami dapat penyertaan yang lebih ramai kali ini berbanding kursus-kursus sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup kursus khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di sini hari ini. Seramai 39 pegawai termasuk dua wanita ditauliah sebagai anggota STORM setelah melepasi semua latihan sepanjang kursus yang bermula 20 Mac lepas.
Dua pegawai bomba wanita itu ialah Melisa Canda Anak Jawan, 26, dan Nurfatin Nadia Jamain, 24, merupakan pegawai wanita pertama yang layak menyertai STORM selepas lulus kursus khas itu.
Abdul Wahab berkata hasrat jabatan ialah memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus dari 14,000 anggota dan pegawai bomba di seluruh negara layak menyertai STORM atau memiliki kemahiran yang hampir setara dengannya.
"Syarat lulus kursus khas STORM ini sangat ketat. Namun, bagi mereka yang tidak berjaya melepasinya masih boleh diserapkan ke Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) atau tugasan khas yang lain," katanya.
Sementara itu, Melisa ketika ditemui pemberita berkata adalah menjadi impiannya untuk menjadi anggota STORM dan terlibat dalam operasi menyelamat mangsa dalam bencana atau kecemasan pelbagai situasi sukar.
"Pengalaman membesar di kawasan pedalaman Sibu, Sarawak memberi kelebihan kepada saya kerana banyak terlibat dengan aktiviti lasak sejak kecil lagi. Nasib saya juga baik kerana sepanjang kursus khas ini, kawan-kawan lelaki lain amat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.
Bagi Nurfatin Nadia pula, kejayaannya mengharungi semua ujian dalam kursus khas itu adalah berkat persediaan yang dilakukan selama sebulan terutama dalam aspek kecergasan fizikal.
"Mental kena kuat, semangat perlu sentiasa membara dan paling penting tubuh badan perlu cergas kerana ujian fizikalnya sangat ketat. Saya harap pentauliahan yang diberi kepada kami akan menjadi motivasi untuk anggota bomba wanita lain turut sama berjaya menyertai STORM satu hari nanti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial