SUKAN

FAM bakal hantar cadangan format kelayakan kepada AFC

03/04/2019 10:40 PM

PETALING JAYA, 3 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan menghantar cadangan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung format kejohanan kelayakan di bawah seliaan badan induk bola sepak Asia itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan selain Malaysia, beberapa ahli gabungan AFC turut menerima nasib yang sama, kesan daripada format pertandingan kelayakan di bawah AFC termasuk pusingan kelayakan AFC Bawah 23 (B-23) 2020 yang berakhir baru-baru ini.

“Sebagai ahli gabungan AFC, ada saluran yang betul yang boleh digunakan untuk mengutarakan cadangan. Surat cadangan akan dihantar kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC selepas kita mengenal pasti cadangan tersebut sebelum dihantar kepada AFC,” katanya.

Stuart berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau memberi taklimat kepada wakil media mengenai laporan pertama Pelan Hala Tuju (Road Map) FAM, F:30 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Skuad B-22 negara terpaksa menelan kepahitan gagal layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 2020 di Thailand setelah menduduki tangga kedua di belakang China dalam aksi pusingan kelayakan kumpulan J di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Berdasarkan format pertandingan, hanya 11 juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik (second-placed best team), layak ke pusingan akhir.Malaysia mengakhiri cabaran selaku pasukan kedua terbaik di tangga kelima.

Kegagalan tersebut menyaksikan skuad negara gagal mencapai salah satu sasaran dalam F:30 memandangkan kejohanan kelayakan di Shah Alam berkenaan turut dikira sebagai medan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan FAM sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada ketua jurulatih B-19 negara, Bojan Hodak, baru-baru ini, susulan tindakan pengendali kelahiran Croatia itu mengkritik sistem pembangunan bola sepak di negara ini.

“Bojan perlu menjawab sebelum Jumaat ini,”  katanya.

“Nasib beliau akan ditentukan oleh Sekretariat FAM selepas beliau membalas surat tersebut, dan surat berkenaan tiada kaitan dengan isu kontrak beliau (bersama FAM),” tegas Stuart.

Bojan sebelum ini dilaporkan mengkritik sistem pembangunan bola sepak negara selepas skuadnya gagal mencatat sebarang kemenangan pada saingan kumpulan A Kejohanan Piala Sanix 2019 di Jepun, bulan lepas.

Untuk rekod, Malaysia kalah kesemua tiga perlawanan iaitu kepada Sekolah Tinggi Aomori Yamada (0-2), Sagan Tosu (0-5) dan Sekolah Tinggi Ohzu (1-0).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan