BUTTERWORTH, 3 April (Bernama) -- Para petugas Bahagian Visa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menyajikan satu kelainan hari ini dengan menjalankan senaman ringkas bersama-sama pelanggan mereka yang menunggu giliran berurusan di kaunter bahagian berkenaan.
Senaman ringkas selama 10 minit ini bertujuan membolehkan para pelanggan mencergaskan diri selain mengurangkan perasaan tekanan menguruskan perkara-perkara yang memakan masa agak lama seperti visa dan pasport, kata Pengarah JIM Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud.
“Ini juga satu pendekatan menampilkan sisi mesra kami kepada orang awam yang selama ini mungkin hanya melihat sisi 'garang’ kami sahaja ekoran operasi-operasi penguatkuasaan yang kami jalankan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata inisiatif itu dimulakan sejak Isnin lepas oleh Bahagian Visa jabatan itu di sini dan dirancang untuk dilaksanakan di bahagian-bahagian lain juga.
"Ini sebagai satu permulaan dan ia nampaknya sudah mendapat sambutan yang baik khususnya dari kalangan pelanggan-pelanggan yang datang berurusan dengan kami,” katanya.
Seorang pelanggan yang sempat ditemu bual Bernama, Mohd Zuhair Kassim, 35, berkata beliau pada mulanya terkejut namun tetap menerima baik kreativiti dan inisiatif JIM Pulau Pinang untuk mengadakan aktiviti senaman berkenaan.
Beliau yang merupakan seorang jurutera berkata aktiviti itu menjadikan khidmat kaunter jabatan berkenaan itu unik dan tidak pernah dialaminya di kaunter JIM di negeri-negeri lain.
Menurutnya senaman ringkas ini merupakan satu aktiviti yang mudah disertai dan sentiasa mendapat sambutan baik daripada pelanggan, khususnya yang berurusan di kaunter.
"Walaupun senaman itu ringkas namun ia dapat menceriakan kami yang mahu menjalankan urusan di sini. Mungkin aktiviti berkenaan boleh di buat lebih kerap pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial